Persoalan wahhabi sering bermain di bibir pendakwah pada masa kini.Bahkan media tempatan mahupun antarabangsa juga memainkan perkataan yang sama dengan melabelkan wahhabi sebagai salah satu cabang keganasan. Sesetengah pendakwah mengaitkan golongan yang membawa pembaharuan dan penjernihan di dalam agama Islam ini dengan golongan wahhabi. Untuk mencari jawapan itu saya kongsikan artikel yang dipetik daripada laman sesawang Dr. Asri Zainal Abidin sebagai pencetus minda rakan-rakan pembaca sekalian..
Perkataan ‘wahhabi’ dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran yang lebih moden atau tafsiran yang agak ‘western influence’. Clinton Bennet memasukkan ‘wahhabis’ dan deobandis dibawah kelompok ‘traditionalists’ yang bererti sekaligus berada di bawah aliran ‘fundamentalist’ (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).
Sebahagian penulisan Barat melihat wahhabi sebagai aliran yang menganggap ‘hanya Islam agama yang benar’, wajib menegakkan ‘Islamic State’, adanya ‘jihad’ menentang kuffar dan lain-lain ciri-ciri yang dianggap unsur ‘padang pasir’ sekaligus cuba dikaitkan dengan terrorism.
Di Malaysia pula, perkataan ‘wahhabi’ adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau menfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham. Bagi mereka, itu adalah senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: “siapa tak setuju dengan saya dia wahhabi”. Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: “apa itu wahhabi?”. Jawab tok imam: “Siapa yang mengkritik ustaz dia wahhabi”. Maka tidaklah berani lagi ‘penasihat’ itu berbeza pandangan dengan ‘tok imam’ dan mempertikaikan ‘infallibility’ ustaz, takut jadi wahhabi.
Di sesetengah tempat seseorang dituduh wahhabi kerana menentang amalan-amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat. Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar ‘ustaz’, bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka ‘sang ustaz’ itu dengan mudahnya akan menyebut: ‘awak wahhabi’.
Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh wahhabi. Padahal kitab melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya”. Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendir, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata ‘awak wahhabi’.
Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam. Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk ‘bisnes’ mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan ‘kartun’ dan ‘lucu’. Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya ‘awak wahhabi’. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin ‘Abdul Wahhab.
Lebih buruk lagi apabila isu wahhabi digunakan oleh pihak berkuasa agama. Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai wahhabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau. Nama sultan akan digunakan.
Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat. Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: “ini lebih bahaya kerana wahhabi”. Apa itu wahhabi? Jawab mereka wahhabi itu wahhabi! Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia ‘aliran pengkafir umat’ yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.
Di peringkat yang lebih tinggi, istilah wahhabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafi’i. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu wahhabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas.
Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi:
“Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum , m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).
Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah ‘mereka ini’ apabila menjadi ‘penasihat-penasihat’ bank, bagi memenuhi keperluan bank-bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan-pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab. Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan-pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal ‘sesetengah mereka ini’ di luar mesyuarat bank yang ber‘elaun’ itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah wahhabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai ‘wahhabi’. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.
Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan padangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai wahhabi. Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok wahhabism.
Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu wahhabi dan sesat, yang tertutup itulah yang ‘membolot segala kebenaran’. Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan ‘pereputan’ kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.
Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalisn vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang. Bagi saya, bukan isu wahhabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat ‘kedudukan’ seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mensyuarat itu sebagai ‘bank mazhab wahhabi’.
David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua ‘occomodation or resistance’. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh wahhabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap wahhabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain wahhabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi. Sumber: http://www.drmaza.com
Falsafah Pendidikan Kebangsaan
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Falsafah Pendidikan Islam
"Pendidikan Islam adalah satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu,, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat"
Nuffnang Ads
13 October 2010
10 October 2010
08 October 2010
Interfaith Commission (IFC)?
Sudah lama kita tidak mendengar berita tentang IFC ini. Apa sudah jadi dengan organisasi ini. Adakah masih aktif atau sudah berkubur. Atau ia masih bergerak dalam diam tanpa disedari oleh kita semua. Nama IFC ini agak popular semasa kes Lina Joy masih berjalan di Mahkamah. Namun sedar atau tidak, ramai diantara kita yang masih tidak mengetahui tentang penubuhan organisasi ini..Untuk mengetahuinya dengan lanjut mengenai organisasi ini, saya petik artikel yang diambil dari laman sesawang Ustaz Nor Amin untuk dikongsi bersama..
Apakah Interfaith Commision (IFC)?
IFC yang nama asalnya ialah IRC - Inter Religous Council (IRC) adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: agama Islam) akibat desakan penganut agama lain. Badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit. IFC juga juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama.
Siapakah yang mencadangkan penubuhan IFC?
IFC digagaskan penubuhannya oleh Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) atau pun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos, 2001. Presiden MCCBCHS ialah V. Harcharan Singh.
Siapakah yang paling bersemangat sekali menyokong penubuhan IFC?
Majlis Peguam terutamanya Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia amat kuat menyokong penubuhan IFC dan amat berharap ia akan berjaya. Kronologinya seperti berikut :
1.Pada 8 Ogos, 2001, Majlis Peguam telah menerima satu memorandum daripada MCCBCHS mengenai perkara ini dan selepas itu ide penubuhan IRC berjalan dengan lancar.
2.Pada 10 Disember, 2001, Majlis Peguam menganjurkan forum mengenai 'Kebebasan Beragama' dan menerbitkan jurnal khas bernama INSAF.
3.Pada 8 Disember, 2001 satu perayaan 'Festival of Rights' diadakan dengan tema 'Kebebasan Beragama'.
4.Pada 17 Mac, 2003 bengkel untuk menimbang keperluan wujudnya IRC diadakan. Bengkel ini gagal apabila kesemua NGO Islam menarik diri daripada terlibat dengan penubuhan suruhanjaya ini iaitu ABIM, ACCIN , JUST dan Sisters In Islam termasuk Dr Chandra Muzaffar yang menjadi antara orang awal yang mencadangkan dialog antara kepercayaan. Bagaimana pun Sisters In Islam kemudian menyertai semula dan menyokong penubuhan suruhanjaya ini.
5.Pada pertengahan tahun 2004, satu persidangan mengenai penubuhan IRC diadakan. Bagi menunjukkan wujudnya sokongan, penganjur seminar telah melantik kesemua ahli Jawatankuasa Kecil Syariah Majlis Peguam sebagai ahli jawatankuasa penganjur tanpa pengetahuan mereka.
6.Mengemukakan draf ketiga undang-undang penubuhan IFC bertarikh Januari 2005 kepada persidangan cadangan penubuhan IFC.
Apakah matlamat penubuhan IFC?
Matlamat IFC ialah untuk meminda beberapa ajaran asas Islam yang bakal merugikan orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang-orang bukan Islam.
Apakah tuntutan orang-orang bukan Islam yang dibuat melalui IFC?
1.Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
2.Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
3.Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.
4.Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.
5.Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad)sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.
6.Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.
7.Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pesakanya selepas kematiannya.
8.Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid. Kerajaan juga perlu membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam tanpa perlu adanya peraturan-peraturan tertentu.
9.Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
10.Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.
11.Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.
12.Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.
13.Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.
14.Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.
Apakah bahayanya penubuhan IFC terhadap Islam?
Berdasarkan draf undang-undang penubuhan IFC, suruhanjaya ini jika ditubuhkan amat berbahaya kepada Islam dari sudut :
1.Membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal ehwal agama Islam.
2.IFC jelas sebuah suruhanjaya anti Islam. Ini adalah campurtangan orang bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam. Hak perlembagaan bagi mengamalkan agama sendiri (Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan - Freedom of religion (Kebebasan beragama) tidak berlanjutan kepada mempersoalkan agama lain dan tidak sampai menuntut ajaran agama orang lain dipinda semata-mata untuk disesuaikan dengan kepentingan sendiri. Orang-orang bukan Islam berhak untuk menuntut hak mereka mengamalkan agama sendiri tetapi tidak sampai mempersoalkan dan campurtangan urusan agama Islam. Campurtangan ini amat bahaya. Perkara yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah diselesaikan oleh mereka yang berkelayakan di dalam Islam sendiri.
3.Menjadikan undang-undang Allah mesti tunduk kepada norma-norma antarabangsa yang dicipta oleh manusia yang menjejaskan aqidah.
Norma-norma antarabangsa tersebut ialah :
1.Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948
2.Konvensyen untuk menghapuskan semua jenis diskriminasi terhadap wanita (disahkan oleh Malaysia pada 5 Julai 1995)
3.Konvensyen mengenai hak kanak-kanak
4.Deklarasi untuk menghapuskan semua bentuk ketidaktoleransi dan diskriminasi berasaskan agama
5.Deklarasi mengenai hak-hak orang untuk mempunyai kewargaan, sukukaum, agama dan bahasa minoriti
6.Deklarasi Vienna dan plan tindakan.
Kesemua norma antarabangsa tersebut belum disahkan oleh Malaysia kecuali yang dinyatakan sebaliknya. IFC menuntut supaya agama mestilah mengikut ketentuan norma antarabangsa di atas. Norma antarabangsa tersebut tidak membezakan antara orang Islam dan bukan Islam. Bagi orang Islam, peraturan untuk kehidupan mereka bukan lagi Islam tetapi norma-norma antarabangsa tersebut yang dicipta oleh manusia. Apa sahaja ajaran Islam yang bertentangan dengan norma antarabangsa hendaklah dihapuskan. Ini bermaksud, Allah mesti tunduk kepada norma antarabangsa. Ini menjejaskan aqidah seorang Muslim.
Orang Islam bebas melakukan apa sahaja
Manusia adalah bebas. Begitu juga orang Islam adalah bebas. Mereka bebas melakukan apa sahaja termasuk mengamalkan ajaran agama lain tetapi masih boleh mengaku sebagai seorang Muslim atas nama kebebasan beragama. Kebebasan agama ini dijamin oleh norma antarabangsa di atas.
Orang Islam bebas untuk murtad
Deklarasi sejagat mengenai hak asasi manusia menyatakan 'setiap orang mempunyai hak untuk bebas berfikir, suara hati dan agama. Ini termasuk kebebasan menukar agama....(artikel 18)'. Ini bermaksud status sebagai seorang Muslim bukan ditentukan oleh Tuhan tetapi ditentukan oleh manusia. Berdasarkan norma antarabangsa, Islam tidak berhak menghalang penganutnya keluar daripada Islam kerana itu dibenarkan oleh norma antarabangsa.
IFC berhak menentukan status agama seseorang.
Seseorang yang ingin murtad boleh mengemukakan permohonannya kepada IFC. Permohonannya akan ditentukan oleh ahli-ahli IFC yang diantaranya adalah bukan Islam. Ini adalah campurtangan yang amat nyata dalam hal ehwal agama Islam. Jabatan Pendaftaran Negara tidak berhak menolak permohonan seseorang untuk menukar nama daripada nama Islam kepada bukan Islam dengan alasan suatu percubaan untuk murtad. Jika permohonan ditolak ini menjejaskan keharmonian dan kebebasan beragama. Perkara ini terkandung di dalam seksyen 19(3) draf undang-undang IFC.
Apakah sikap kita?
Menentang sekeras-kerasnya penubuhan IFC. Kita sanggup mati demi agama kita. Penubuhannya bukan sekadar perlu ditangguhkan, tetapi jangan sama sekali dibenarkan. Semua saluran perlu digunakan untuk menghalang penubuhan IFC.
Sumber Artikel: http://www.ustaznoramin.com/
05 October 2010
Selamat Menghadapi Peperiksaan
Assalamualaikum wbt.
Buat semua semua para pelajar SMK Belawai Mukah yang sedang menduduki Peperiksaan PMR pada hari ini dan hari-hari seterusnya, ustaz doakan moga kalian diberikan kekuatan dan ketenangan oleh Allah S.W.T untuk menjawab dengan baik. Semoga kalian semua berjaya dengan cemerlang. Ma'a Al-Taufiq Binnajah..

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Buat semua semua para pelajar SMK Belawai Mukah yang sedang menduduki Peperiksaan PMR pada hari ini dan hari-hari seterusnya, ustaz doakan moga kalian diberikan kekuatan dan ketenangan oleh Allah S.W.T untuk menjawab dengan baik. Semoga kalian semua berjaya dengan cemerlang. Ma'a Al-Taufiq Binnajah..

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
31 August 2010
Bonus Raya atau Bonus Ramadhan?
![]() |
| Gambar Hiasan |
Bila direnungkan kembali, kita sangat teruja dengan pengumuman pemberian bonus raya tersebut. Saya sendiri mengucapkan syukur kepada Allah atas limpahan rezeki yang Allah beri. Namun berapa ramaikah antara kita yang teruja mendengar bonus yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. sempena bulan Ramadhan ini? Banyak tawaran yang Allah janjikan kepada semua hambanya sempena kedatangan bulan Ramadhan ini. Antara tawaran mega yang Allah janjikan kepada kita ialah malam lailatulqadar. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita hayati ayat ini.Firma Allah S.W.T. di dalam surah Al-Qadr:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ
[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
[3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ
[4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
[5] Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!Alangkah beruntungnya bagi sesiapa yang mendapat tawaran mega daripada Allah S.W.T. ini. Namun layakkah kita mendapat ganjaran Allah ini? Tepuk dada tanya iman..nak dapat macam mana ganjaran ini kalau ibadah yang sepatutnya semakin rancak dikerjakan untuk fasa terakhir di bulan Ramadhan ini menjadi semakin layu dan kuyu. Realitinya cuba kita lihat di masjid-masjid dan juga surau-surau. Jemaah yang hadir untuk solat terawih sudah semakin kurang berbanding awal ramadhan dahulu. Kita sudah disibukkan dengan persiapan menyambut hari raya.
![]() |
| Gambar hiasan |
![]() |
| Gambar hiasan |
Kalau sebelum ini, Al-Quran yang dibaca mampu dihabiskan satu juzu' dalam sehari kini sudah tidak lagi. Yang berniaga, makin rancak berniaga mencari laba hari raya.Memang inilah masanya untuk membuat keuntungan.Siapa yang mahu melepaskan peluang ini. Bagi yang membeli pula tidak mahu melepaskan peluang menyambut tawaran-tawaran dan juga promosi-promosi yang dibuat oleh peniaga-peniaga.Peluang itu tidak dilepaskan.Akhirnya tawaran Allah semakin dilupakan. Banyak aktiviti tertumpu kepada persediaan menyambut perayaan yang natijahnya kita mengabaikan bonus pemberian Allah ini. Ramadhan semakin pergi meninggalkan kita..Ramadhan Kareem!
19 August 2010
Gajah Liar Melintas
Ketika 'merayau-rayau' di alam siber ni saya terjumpa satu berita yang di petik daripada Berita Harian yang sangat menarik minat saya untuk membacanya.Bukannya apa, kerana saya juga pernah melalui pengalaman yang sama. Lebuhraya Timur Barat merupakan laluan utama menghubungkan antara negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dengan negeri sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Saya sendiri yang sentiasa berulang alik melalui lebuhraya tersebut samaada dengan menggunakan kereta, motorsikal ataupun bas sudah 'mangli' dengan signboard tersebut. Kadang-kadang berselisih juga dengan tuan punya badan..hehe. Nak tahu lebih lanjut, mari kita baca berita ini..JELI: Seorang pemuda sempat merakam aksi seekor gajah melangkah penghadang jalan di Kilometer 27 Lebuh Raya Timur Barat berhampiran sempadan Kelantan-Perak, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Mat Mazarin Ramlee, 27, yang bekerja sendiri berkata ketika itu beliau dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas menziarahi saudaranya di Pasir Puteh, Kelantan.
Katanya, disebabkan terkejut selepas terserempak dengan kehadiran hidupan liar itu, beliau mengambil keputusan berpatah balik ke Jeli, dan meneruskan perjalanan ke Sungai Petani pagi semalam.
"Saya tidak mahu mengambil risiko meneruskan perjalanan kerana bimbang kemungkinan ada kumpulan gajah lain di hadapan sepanjang jalan raya berkenaan.
"Saya diberitahu penduduk Jeli yang ditemui, kumpulan gajah liar itu sering melintasi kawasan itu untuk mencari makanan di hutan bersebelahan, terutama pada waktu senja dan malam, malah kadang kala memasuki serta memusnahkan tanaman penduduk kebelakangan ini," katanya.
Mat Mazarin berkata, pengalaman melihat sendiri haiwan liar itu berada di depannya menjadi kenangan sepanjang hayatnya kerana tidak ramai yang berpeluang menempuh pengalaman berkenaan.
Sumber : BeritaHarian
Nota: Manusia dan haiwan sama-sama berkongsi alam ciptaan Allah. Alhamdulillah sepanjang saya berulang-alik melalui lebuhraya tersebut sejak kecil sampailah sekarang belum ada lagi peristiwa yang buruk berlaku melibatkan haiwan tersebut. Nauzubillahiminzalik..selagi kita sebagai manusia mentadbir alam ini dengan baik, insyaallah..tidak ada sebabnya haiwan itu nak mengamuk!
15 August 2010
Mecca Royal Clock Hotel Tower
![]() |
| Source of pic:Google |
Untuk tetamu Allah yang bakal mengunjungi Baitillahilharam pada tahun ini pasti akan teruja untuk melihat satu lagi pembinaan yang telah diilhamkan Kerajaan Arab Saudi untuk memodenkan Kota Makkah yang telah menarik perhatian dunia iaitu ‘Mecca Royal Clock Hotel Tower’ atau lebih dikenali sebagai Mecca Clock Tower.
Pembinaan menara jam ini telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat antarabangsa mengenai penggantian waktu standard dunia yang sebelum ini mengguna pakai sistem Greenwich Mean Time (GMT) yang telah diamalkan sejak lebih 100 yang lalu.
Sejumlah tokoh-tokoh Islam memandang positif usaha penggantian daripada menggunakan sistem yang telah diguna pakai sebelum ini kepada system waktu yang berasaskan standard waktu di Makkah. Ini kerana pada persidangan di Doha pada tahun 2008, para ulama berpendapat waktu di Makkah adalah waktu sebenar meridan dunia kerana kedudukan Makkah di tengah-tengah dunia.
Saya tidaklah bercadang untuk memperdebatkan hal ini. Biarlah orang-orang yang lebih arif dan maklum mengenai perkara ini memperdebatkannya..:-) Cuma, adalah diharapkan dengan terbinanya Menara Jam Makkah ini yang akan menjadi panduan waktu bagi ummat Islam seluruh dunia, umat Islam akan lebih menjaga dan menghormati masa terutamanya waktu solat!
Berikut adalah perbandingan antara menara jam Big Ben di London dengan Mecca Clock Tower yang saya petik daripada www.telegraph.co.uk untuk saya kongsi bersama pembaca sekalian.
![]() |
| Source of pic:Google |
Ketinggian Menara
St. Stephen Tower : 315.9 ft
Mecca Clock Tower: 1,970 ft
Diameter Permukaan Jam
Big Ben: 23 ft
Mecca Clock Tower: 151 ft
Tulisan:
Big Ben: 'Domine Salvam Fac Reginam Nostram Victorian Primam' (Lord, keep safe our Queen Victorian I)
Mecca Clock Tower: "In The Name of Allah"

12 August 2010
Prejudis Masyarakat Terhadap Graduan Pengajian Islam
![]() |
| Gambar:www.usim.edu.my |
Oleh Ruhaiza Rusmin
2010/08/09
SKEPTIKALNYA pandangan masyarakat terhadap kemampuan mahasiswa jurusan Pengajian Islam hingga sering menjadi alat perbandingan yang berat sebelah dengan graduan jurusan lain.
Selain dianggap jurusan tidak glamour, cara berpakaian dan pemikiran turut dipersoalkan menyebabkan mereka kurang laku di pasaran.
Apatah lagi gagal memenuhi kehendak industri yang lebih menyukai calon agresif, berfikiran terbuka dan mampu melaksanakan tugasan tanpa halangan.
Persoalannya, benarkah tanggapan itu atau hanya pandangan remeh-temeh masyarakat?
Ketua Program Dakwah dan Pengurusan Islam Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Dr Zulkiple Abd Ghani berkata, masyarakat usah mempertikaikan kemampuan mahasiswa terbabit secara serkap jarang kerana pastinya tidak adil.
Beliau berkata, penentuan sama ada cemerlang atau sebaliknya bukan kerana jurusan diambil tetapi bergantung kepada kemampuan individu.
"Tidak adil apabila kemampuan mereka dipertikaikan hanya kerana 'mendengar khabar angin' tanpa bukti kukuh. Kejayaan individu bergantung pada diri sendiri, bukan jurusan diambil ketika di universiti.
"Tanggapan sedemikian akan menjejaskan masa depan golongan terbabit sedangkan kemampuan dan keupayaan melaksanakan tanggungjawab setara seperti graduan lain.
"Menuduh tanpa bukti kukuh bukan saja merosakkan nama institusi, malah menyebabkan industri pendidikan negara dipandang serong masyarakat luar," katanya.
Katanya, mahasiswa jurusan itu mempunyai masa depan cerah sama seperti graduan lain dalam kepelbagaian bidang industri.
Mengambil jurusan agama bukan bermakna kemahiran terbatas, sebaliknya mereka turut belajar pelbagai pengkhususan seperti, sains, komputer, kaunseling, psikologi dan ilmu sosial lain.
"Walaupun jurusan agama, banyak pengkhususan lain turut dipelajari. Ia adalah aset untuk memikat majikan.
"Saya tidak setuju mereka tidak berdaya saing ketika melakukan tugas, malah graduan jurusan lain juga ada yang lebih teruk.
"Soal memilih jurusan tidak timbul kerana tanpa kesungguhan dan komitmen daripada pelajar, mereka gagal menarik minat majikan sama ada jurusan agama atau sebaliknya," katanya.
Menurutnya, majikan mencari pekerja yang mempunyai integriti tinggi serta berkebolehan melaksanakan tugasan, soal pakaian atau personaliti hak individu.
"Jika timbul isu pakaian, ia hanya kes terpencil. Mahasiswa jurusan ini tidak pernah berdepan kerenah diskriminasi hanya disebabkan pakaian.
"Kelulusan, kelayakan dan kemahiran adalah kriteria utama diberi penekanan," katanya.
Namun, beliau tidak menafikan ada pelajar jurusan agama sukar mencari pekerjaan tetapi ia adalah lumrah dalam keadaan lambakan mahasiswa di pasaran.
"Jadi, terpulang bagaimana anda mencorakkan masa depan. Jika ingin berjaya, berusaha bersungguh-sungguh. Jangan menyalahkan institusi atau jurusan kerana ia tidak menyelesaikan masalah," katanya.
Beliau meminta masyarakat jangan gusar dengan lambakan graduan ini pada masa depan kerana pengkhususan ditawarkan atas kapasiti kepentingan dan sumbangan kepada negara.
"Setiap jurusan ditawarkan ada kepentingannya, bukan dilaksanakan secara suka-suka, sebaliknya berdasarkan keperluan jangka masa panjang.
"Negara memerlukan proses penggantian kerjaya secara konsisten. Jika pengkhususan tertentu dimansuhkan, bagaimana masa depan? Masyarakat perlu melihat isu ini dalam konteks lebih terbuka.
"Saya berharap selepas ini tidak timbul lagi isu pelajar jurusan agama tidak laku kerana ramai daripada mereka yang berjaya termasuk di bidang korporat," katanya.

INFO
Senarai antara institusi pengajian tinggi awam yang menawarkan program Pengajian Islam dan anggaran jumlah mahasiswa yang sedang menuntut.
# Universiti Malaya - 2,227 orang
# Universiti Kebangsaan Malaysia - 650 orang
# Universiti Sains Islam Malaysia - 3,200 orang
# Universiti Islam Antarabangsa Malaysia - 2,500 orang
# Universiti Sultan Zainal Abidin - 1,900 orang
Sumber:http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Usahtuduhtanpabuktikukuh/Article
Subscribe to:
Posts (Atom)
Followers
Muzik Video Pilihan
Pelawat
About Me
- Ilham Alam
- Berasal daripada negeri yang diberi jolokan Jelapang Padi, Kedah. Sekarang sebagai pendidik yang bertugas di negeri Sarawak.









