BINTULU: Dua lagi mayat tragedi bot ekspres karam selepas berlanggar dengan tongkang di hulu Sungai Anap Tatau petang semalam, ditemui hari ini, menjadikan jumlah yang disahkan terkorban dalam tragedi itu sehingga kini ialah enam orang.
Kedua-dua mayat wanita itu, seorang daripadanya dikenali sebagai Bermas anak Nyuin, 26, ditemui pasukan mencari dan menyelamat di dasar Sungai Kakus di Ulu Tatau, kira-kira 60 kilometer dari sini.
Mayat pertama ditemui pada pukul 1.30 petang manakala satu lagi mayat ditemui kira-kira setengah jam selepas itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mohmad Salleh.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam, bot ekspres yang dalam perjalanan dari Pekan Tatu ke Hulu Kakus terbalik dan karam selepas berlanggar dengan tongkang balak. Bot itu bertolak dari Pekan Tatau pada pukul 1.30 petang.
Empat mayat ditemui petang semalam, iaitu bayi berusia lima bulan Jennifer Yak; dua lelaki dewasa iaitu Wong Siew Guan, 21; dan Wilfred Ukir Salleh, 56; serta seorang wanita Meas anak Renggan, 75.
Tujuh belas penumpang termasuk empat kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun selamat.
Mohmad berkata setakat ini operasi mencari dua lagi mangsa yang dilapor hilang diteruskan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada 47 pegawai dan anggota dari Pejabat Daerah Tatau, polis, pasukan bomba dan penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
Antara yang masih hilang ialah pasangan suami isteri dan anak perempuan mereka berusia tiga tahun.
"Setakat ini, kami mengenalpasti 21 penumpang dalam bot itu. Tetapi jumlah sebenar penumpang tidak boleh dipastikan sekarang kerana bot itu mengambil penumpang sepanjang perjalanan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Sehubungan itu, polis meminta penduduk di kawasan itu yang kehilangan anggota keluarga supaya membuat laporan polis dengan segera dan polis juga meminta pemimpin masyarakat setempat membantu dalam usaha itu.
Mohmad berkata kejadian berlaku apabila bot ekspres "Liang Yu" yang boleh memuatkan 50 penumpang, dari pekan Tatau cuba memotong sebuah tongkang yang menarik baj kosong berhampiran Kem Pembalakan Kelebu.
"Ketika cuba memotong tongkang itu, pemandu bot ekspres terbabit hilang kawalan apabila ia tersangkut dalam tali yang menarik baj menyebabkan baj itu melanggarnya dari belakang mengakibatkan bot itu terbalik," katanya sambil menjelaskan bot itu mempunyai jaket keselamatan.
Beliau berkata pemandu bot berusia dalam lingkungan 60-an kini ditahan untuk membantu siasatan.
Sementara itu, anggota keluarga mangsa yang masih hilang berada di kawasan kem itu dan ada antaranya yang menyertai usaha mencari dan menyelamat dengan bot panjang mereka.
Seorang daripada mereka Dina anak Nyuin, 25, berkata kakaknya bersama abang ipar dan anak perempuan mereka adalah antara yang masih hilang manakala mayat seorang lagi kakaknya, Bermas, ditemui hari ini. - BERNAMA
Ekspress ditarik keluar daripada sungai |
Mangsa kemalangan tersebut |
Antara ahli keluarga yang terlibat |
Keadaan bot yang karam |