Ketika 'merayau-rayau' di alam siber ni saya terjumpa satu berita yang di petik daripada Berita Harian yang sangat menarik minat saya untuk membacanya.Bukannya apa, kerana saya juga pernah melalui pengalaman yang sama. Lebuhraya Timur Barat merupakan laluan utama menghubungkan antara negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dengan negeri sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Saya sendiri yang sentiasa berulang alik melalui lebuhraya tersebut samaada dengan menggunakan kereta, motorsikal ataupun bas sudah 'mangli' dengan signboard tersebut. Kadang-kadang berselisih juga dengan tuan punya badan..hehe. Nak tahu lebih lanjut, mari kita baca berita ini..
JELI: Seorang pemuda sempat merakam aksi seekor gajah melangkah penghadang jalan di Kilometer 27 Lebuh Raya Timur Barat berhampiran sempadan Kelantan-Perak, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Mat Mazarin Ramlee, 27, yang bekerja sendiri berkata ketika itu beliau dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas menziarahi saudaranya di Pasir Puteh, Kelantan.
Katanya, disebabkan terkejut selepas terserempak dengan kehadiran hidupan liar itu, beliau mengambil keputusan berpatah balik ke Jeli, dan meneruskan perjalanan ke Sungai Petani pagi semalam.
"Saya tidak mahu mengambil risiko meneruskan perjalanan kerana bimbang kemungkinan ada kumpulan gajah lain di hadapan sepanjang jalan raya berkenaan.
"Saya diberitahu penduduk Jeli yang ditemui, kumpulan gajah liar itu sering melintasi kawasan itu untuk mencari makanan di hutan bersebelahan, terutama pada waktu senja dan malam, malah kadang kala memasuki serta memusnahkan tanaman penduduk kebelakangan ini," katanya.
Mat Mazarin berkata, pengalaman melihat sendiri haiwan liar itu berada di depannya menjadi kenangan sepanjang hayatnya kerana tidak ramai yang berpeluang menempuh pengalaman berkenaan.
Sumber : BeritaHarian
Nota: Manusia dan haiwan sama-sama berkongsi alam ciptaan Allah. Alhamdulillah sepanjang saya berulang-alik melalui lebuhraya tersebut sejak kecil sampailah sekarang belum ada lagi peristiwa yang buruk berlaku melibatkan haiwan tersebut. Nauzubillahiminzalik..selagi kita sebagai manusia mentadbir alam ini dengan baik, insyaallah..tidak ada sebabnya haiwan itu nak mengamuk!
No comments:
Post a Comment