Falsafah Pendidikan Kebangsaan

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."







Falsafah Pendidikan Islam

"Pendidikan Islam adalah satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu,, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat"

Nuffnang Ads

Edisi terbaru Solusi,jom klik!!

Edisi terbaru Solusi,jom klik!!
Dapatkan majalah Solusi ini daripada kedai maya kami.

31 August 2010

Bonus Raya atau Bonus Ramadhan?

Gambar Hiasan
Baru-baru ini pihak kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM400 daripada pihak kerajaan negeri kepada kakitangan awam. Kemudiaan langkah ini disusuli pula oleh kerajaan persekutuan dengan mengumumkan pemberian bonus kepada semua kakitangan awam sebanyak RM500. Langkah ini  seterusnya diikuti  oleh kerajaan negeri-negeri yang lain.Bagi keseluruhan kakitangan awam, langkah ini disambut baik dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan sempena ketibaan aidilfitri nanti. Saya yakin, masing-masing yang bakal mendapat bonus tersebut sudah merancang ke arah mana nak dibelanjakan pemberian bonus tersebut. 

Bila direnungkan kembali, kita sangat teruja dengan pengumuman pemberian bonus raya tersebut. Saya sendiri mengucapkan syukur kepada Allah atas limpahan rezeki yang Allah beri. Namun berapa ramaikah antara kita yang teruja mendengar bonus yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. sempena bulan Ramadhan ini? Banyak tawaran yang Allah janjikan kepada semua hambanya sempena kedatangan bulan Ramadhan ini. Antara tawaran mega yang Allah janjikan kepada kita ialah malam lailatulqadar. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita hayati ayat ini.Firma Allah S.W.T. di dalam surah Al-Qadr:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ
[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
[3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ
[4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
[5] Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Alangkah beruntungnya bagi sesiapa yang mendapat tawaran mega daripada Allah S.W.T. ini. Namun layakkah kita mendapat ganjaran Allah ini? Tepuk dada tanya iman..nak dapat macam mana ganjaran ini kalau ibadah yang sepatutnya semakin rancak dikerjakan untuk fasa terakhir di bulan Ramadhan  ini menjadi semakin layu dan kuyu. Realitinya cuba kita lihat di masjid-masjid dan juga surau-surau. Jemaah yang hadir untuk solat terawih sudah semakin kurang berbanding awal ramadhan dahulu. Kita sudah disibukkan dengan persiapan menyambut hari raya.
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kalau sebelum ini, Al-Quran yang dibaca mampu dihabiskan satu juzu' dalam sehari kini sudah tidak lagi. Yang berniaga, makin rancak berniaga mencari laba hari raya.Memang inilah masanya untuk membuat keuntungan.Siapa yang mahu melepaskan peluang ini. Bagi yang membeli pula tidak mahu melepaskan peluang menyambut tawaran-tawaran dan juga promosi-promosi yang dibuat oleh peniaga-peniaga.Peluang itu tidak dilepaskan.Akhirnya tawaran Allah semakin dilupakan. Banyak aktiviti tertumpu kepada persediaan menyambut perayaan yang natijahnya kita mengabaikan bonus pemberian Allah ini. Ramadhan semakin pergi meninggalkan kita..Ramadhan Kareem!

19 August 2010

Gajah Liar Melintas

Ketika 'merayau-rayau' di alam siber ni saya terjumpa satu berita yang di petik daripada Berita Harian yang sangat menarik minat saya untuk membacanya.Bukannya apa, kerana saya juga pernah melalui pengalaman yang sama. Lebuhraya Timur Barat merupakan laluan utama menghubungkan antara negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dengan negeri sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Saya sendiri yang sentiasa berulang alik melalui lebuhraya tersebut samaada dengan menggunakan kereta, motorsikal ataupun bas sudah 'mangli' dengan signboard tersebut. Kadang-kadang berselisih juga dengan tuan punya badan..hehe. Nak tahu lebih lanjut, mari kita baca berita ini..


JELI: Seorang pemuda sempat merakam aksi seekor gajah melangkah penghadang jalan di Kilometer 27 Lebuh Raya Timur Barat berhampiran sempadan Kelantan-Perak, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Mat Mazarin Ramlee, 27, yang bekerja sendiri berkata ketika itu beliau dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas menziarahi saudaranya di Pasir Puteh, Kelantan.

Katanya, disebabkan terkejut selepas terserempak dengan kehadiran hidupan liar itu, beliau mengambil keputusan berpatah balik ke Jeli, dan meneruskan perjalanan ke Sungai Petani pagi semalam.


"Saya tidak mahu mengambil risiko meneruskan perjalanan kerana bimbang kemungkinan ada kumpulan gajah lain di hadapan sepanjang jalan raya berkenaan.


"Saya diberitahu penduduk Jeli yang ditemui, kumpulan gajah liar itu sering melintasi kawasan itu untuk mencari makanan di hutan bersebelahan, terutama pada waktu senja dan malam, malah kadang kala memasuki serta memusnahkan tanaman penduduk kebelakangan ini," katanya.


Mat Mazarin berkata, pengalaman melihat sendiri haiwan liar itu berada di depannya menjadi kenangan sepanjang hayatnya kerana tidak ramai yang berpeluang menempuh pengalaman berkenaan.
Sumber : BeritaHarian

 
Nota: Manusia dan haiwan sama-sama berkongsi alam ciptaan Allah. Alhamdulillah sepanjang saya berulang-alik melalui lebuhraya tersebut sejak kecil sampailah sekarang belum ada lagi peristiwa yang buruk berlaku melibatkan haiwan tersebut. Nauzubillahiminzalik..selagi kita sebagai manusia mentadbir alam ini dengan baik, insyaallah..tidak ada sebabnya haiwan itu nak mengamuk!

15 August 2010

Mecca Royal Clock Hotel Tower

Source of pic:Google
 Mecca Royal Clock Hotel Tower

Untuk tetamu Allah yang bakal mengunjungi Baitillahilharam pada tahun ini pasti akan teruja untuk melihat satu lagi pembinaan yang telah diilhamkan Kerajaan Arab Saudi untuk memodenkan Kota Makkah yang telah menarik perhatian dunia iaitu ‘Mecca Royal Clock Hotel Tower’ atau lebih dikenali sebagai Mecca Clock Tower.

Pembinaan menara jam ini telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat antarabangsa mengenai penggantian waktu standard dunia yang sebelum ini mengguna pakai sistem Greenwich Mean Time (GMT) yang telah diamalkan sejak lebih 100 yang lalu.

Sejumlah tokoh-tokoh Islam memandang positif usaha penggantian daripada menggunakan sistem yang telah diguna pakai sebelum ini kepada system waktu yang berasaskan standard waktu di Makkah. Ini kerana pada persidangan di Doha pada tahun 2008, para ulama berpendapat waktu di Makkah adalah waktu sebenar meridan dunia kerana kedudukan Makkah di tengah-tengah dunia.

Saya tidaklah bercadang untuk memperdebatkan hal ini. Biarlah orang-orang yang lebih arif dan maklum mengenai perkara ini memperdebatkannya..:-) Cuma, adalah diharapkan dengan terbinanya Menara Jam Makkah ini yang akan menjadi panduan waktu bagi ummat Islam seluruh dunia, umat Islam akan lebih menjaga dan menghormati masa terutamanya waktu solat!

Berikut adalah perbandingan antara menara jam Big Ben di London dengan Mecca Clock Tower yang saya petik daripada www.telegraph.co.uk untuk saya kongsi bersama pembaca sekalian.

Source of pic:Google

Ketinggian Menara
St. Stephen Tower : 315.9 ft
Mecca Clock Tower: 1,970 ft

Diameter Permukaan Jam
Big Ben: 23 ft
Mecca Clock Tower: 151 ft

Tulisan:
Big Ben: 'Domine Salvam Fac Reginam Nostram Victorian Primam' (Lord, keep safe our Queen Victorian I)
Mecca Clock Tower: "In The Name of Allah"


12 August 2010

Prejudis Masyarakat Terhadap Graduan Pengajian Islam

Gambar:www.usim.edu.my
Usah Tuduh Tanpa Bukti

Oleh Ruhaiza Rusmin

2010/08/09

SKEPTIKALNYA pandangan masyarakat terhadap kemampuan mahasiswa jurusan Pengajian Islam hingga sering menjadi alat perbandingan yang berat sebelah dengan graduan jurusan lain.

Selain dianggap jurusan tidak glamour, cara berpakaian dan pemikiran turut dipersoalkan menyebabkan mereka kurang laku di pasaran.

Apatah lagi gagal memenuhi kehendak industri yang lebih menyukai calon agresif, berfikiran terbuka dan mampu melaksanakan tugasan tanpa halangan.

Persoalannya, benarkah tanggapan itu atau hanya pandangan remeh-temeh masyarakat?

Ketua Program Dakwah dan Pengurusan Islam Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Dr Zulkiple Abd Ghani berkata, masyarakat usah mempertikaikan kemampuan mahasiswa terbabit secara serkap jarang kerana pastinya tidak adil.

Beliau berkata, penentuan sama ada cemerlang atau sebaliknya bukan kerana jurusan diambil tetapi bergantung kepada kemampuan individu.

"Tidak adil apabila kemampuan mereka dipertikaikan hanya kerana 'mendengar khabar angin' tanpa bukti kukuh. Kejayaan individu bergantung pada diri sendiri, bukan jurusan diambil ketika di universiti.

"Tanggapan sedemikian akan menjejaskan masa depan golongan terbabit sedangkan kemampuan dan keupayaan melaksanakan tanggungjawab setara seperti graduan lain.

"Menuduh tanpa bukti kukuh bukan saja merosakkan nama institusi, malah menyebabkan industri pendidikan negara dipandang serong masyarakat luar," katanya.

Katanya, mahasiswa jurusan itu mempunyai masa depan cerah sama seperti graduan lain dalam kepelbagaian bidang industri.

Mengambil jurusan agama bukan bermakna kemahiran terbatas, sebaliknya mereka turut belajar pelbagai pengkhususan seperti, sains, komputer, kaunseling, psikologi dan ilmu sosial lain.

"Walaupun jurusan agama, banyak pengkhususan lain turut dipelajari. Ia adalah aset untuk memikat majikan.

"Saya tidak setuju mereka tidak berdaya saing ketika melakukan tugas, malah graduan jurusan lain juga ada yang lebih teruk.

"Soal memilih jurusan tidak timbul kerana tanpa kesungguhan dan komitmen daripada pelajar, mereka gagal menarik minat majikan sama ada jurusan agama atau sebaliknya," katanya.

Menurutnya, majikan mencari pekerja yang mempunyai integriti tinggi serta berkebolehan melaksanakan tugasan, soal pakaian atau personaliti hak individu.

"Jika timbul isu pakaian, ia hanya kes terpencil. Mahasiswa jurusan ini tidak pernah berdepan kerenah diskriminasi hanya disebabkan pakaian.

"Kelulusan, kelayakan dan kemahiran adalah kriteria utama diberi penekanan," katanya.

Namun, beliau tidak menafikan ada pelajar jurusan agama sukar mencari pekerjaan tetapi ia adalah lumrah dalam keadaan lambakan mahasiswa di pasaran.

"Jadi, terpulang bagaimana anda mencorakkan masa depan. Jika ingin berjaya, berusaha bersungguh-sungguh. Jangan menyalahkan institusi atau jurusan kerana ia tidak menyelesaikan masalah," katanya.

Beliau meminta masyarakat jangan gusar dengan lambakan graduan ini pada masa depan kerana pengkhususan ditawarkan atas kapasiti kepentingan dan sumbangan kepada negara.

"Setiap jurusan ditawarkan ada kepentingannya, bukan dilaksanakan secara suka-suka, sebaliknya berdasarkan keperluan jangka masa panjang.

"Negara memerlukan proses penggantian kerjaya secara konsisten. Jika pengkhususan tertentu dimansuhkan, bagaimana masa depan? Masyarakat perlu melihat isu ini dalam konteks lebih terbuka.

"Saya berharap selepas ini tidak timbul lagi isu pelajar jurusan agama tidak laku kerana ramai daripada mereka yang berjaya termasuk di bidang korporat," katanya.






INFO
Senarai antara institusi pengajian tinggi awam yang menawarkan program Pengajian Islam dan anggaran jumlah mahasiswa yang sedang menuntut.

# Universiti Malaya - 2,227 orang
# Universiti Kebangsaan Malaysia - 650 orang
# Universiti Sains Islam Malaysia - 3,200 orang
# Universiti Islam Antarabangsa Malaysia - 2,500 orang
# Universiti Sultan Zainal Abidin - 1,900 orang

Sumber:http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Usahtuduhtanpabuktikukuh/Article

06 August 2010

Kisah Seorang Pemimpin

  Dipetik dari www.detikdaily.net

Oleh AZAMIN AMIN
Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.

Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.
Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.

FOKUSKAN LENSA 
Lebih-lebih lagi pelancong atau orang luar, jika tidak diberitahu, mereka lalu begitu sahaja tanpa merakamkan atau memfokuskan lensa ke arah rumah itu.
Na[2009-07-10_165939.jpg]mun, di situlah diamnya seorang pemimpin negeri. Di satu sudut rumah, seorang lelaki tanpa kaca mata, segak membetulkan songkok sejurus mengenakan kot cerah coklat dan mengikat tali leher merahnya.
Kemudian dia duduk seketika, sambil menghirup kopi, minuman kegemarannya. Pagi itu, dia tidak sempat bersarapan, seperti kelaziman hari-hari lain juga.
Jadualnya padat dan waktu yang singkat, adakala tidak upaya menjamah hidangan pagi. Itulah rutin yang dilaluinya, sejak hampir tiga tahun memikul amanah rakyat dan agama.
Sekali hirup, beliau merenung jauh. Kini tidak sama seperti dulu. Malah dia terasa kehilangan sesuatu iaitu tidak dapat melakukan perkara yang disukainya sejak dulu. Rupanya dia merindui untuk  ke pasar secara sendirian membeli ikan dan bersembang panjang dengan masyarakat di warung kopi atau di kedai makan!

MENUNGGU ARAHAN
Lamunannya terhenti tatkala, seorang pengawal peribadi muda memaklumkan semuanya telah siap siaga menunggu arahan selanjutnya.
Di luar sana, kereta peronda bersama polis pengiring bermotosikal, sudah terpacak setia. Di tepi laman rumah dua buah kereta rasmi kerajaan, dua pemandu beserta empat pegawai lelaki kemas berpakaian kemeja lengan panjang  berdiri di sisi pintu, menghormati dia, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak selaku Menteri Besar Kedah mendahului pergerakan semua.
Tepat jam 8.00 pagi itu, pasukan pengiringnya bersama pemimpin negeri itu bergerak ke satu lokasi,jauh di pendalaman di mana majlis besar dihadiri ribuan rakyat yang sudah menunggu tanpa jemu.
Di sana, rakyat sudah tidak sabar menantikan amanatnya. Gurau dan seloroh Menteri Besar mereka itu, seringkali mencuit hati. Tanpa laras bahasa yang sukar, menggunakan ayat-ayat bersahaja, beliau bijak dalam mencernakan dan mencanaikan ucapannya agar mudah difahami semua.
Baik isu ekonomi, sosial, agama, politik, pendidikan mahupun undang-undang, Ustaz Azizan tahu apa yang diperkatakan. Tidak sekadar membaca  teks, beliau benar-benar faham apa yang diluahkan. Sesekali beliau menggunakan metafora, analogi dan contoh-contoh sekeliling, untuk mencantas atau menjelas letak duduknya sesuatu perkara.
"Saya ini umpama ketam batu. Sekali saya sepit ekor beruk, pasti menggelupur. Jangan cabar saya kembali ke perangai lama, nanti saya bongkar habis semua ...!"
Seusai berucap laungan takbir bergema dengan iringan tepukan gemuruh, menghangat suasana malam itu sewaktu berceramah di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut dengan disaksikan puluhan wartawan dan pengamal media dalam dan luar negara.

ACAH-ACAH LAWAN
Kehadiran 10,000 hadirin semata-mata mahu mendengar petikan dan amaran Ustaz Azizan yang tak mungkin dilupakan berhubung isu Adun Lompat beberapa bulan lalu, akibat diacah-acah lawan bagi mencalarkan imej bersih dan amanah yang galas beliau selama ini.
Itu cerita dan kehebatan Ustaz Azizan bersilat dalam gelanggang ceramah. Lain pula kisahnya ketika dia menggulung hujah dan menepis segala jurus-jurus lawan yang dihalakan kepadanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah.
"Soalan itu seolah-olah menghina bidang kuasa Sultan. Tarik balik soalan itu!" kata seorang Adun Pembangkang daripada Barisan Nasional dengan penuh emosi berang.
Tanpa membuang masa, Azizan bangun mencelah: "Perkataan 'seolah-olah' bukanlah ayat yang jelas atau mempunyai bukti. Jika di mahkamah, perkataan ini tidak terpakai sama sekali".
Hujahnya tepat, menyiku lawan. Beliau sudah lama dan sebati dengan Dewan. Undang-undang dan peraturan mesyuarat, umpama 'zikir' di bibirnya. Dia yang paling lama sebagai Adun Pembangkang dan kini beralih kuasa di tangan, beliau memegang tampuk pemerintahan.
Bukan sembarangan Ustaz Azizan ini. Berwatak sederhana dan bersahaja. Anak kelahiran kampung Sungai Limau, yang diasah sopan, akhlak dan pendirian. Bijak berilmu sehingga melanjutkan pelajaran ke University Of Kent, Canterbury, United Kingdom, pengkhususan  dalam bidang perlembagaan. Tak mudah lawan atau musuh menyerangnya bertubi-tubi kerana tajinya sangat tajam.
Tidak cukup dengan itu, pengikut dan anak muridnya terlalu ramai. Masakan tidak, beliau dulu adalah seorang tenaga pengajar di Maktab Mahmud, Ketua Jabatan Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Tidaklah berhasrat menceritakan fakta-fakta, statistik atau angka-angka kejayaan pimpinan Ustaz Azizan ini berkaitan bab peningkatan hasil balak, pengurangan kadar jenayah, percambahan projek pertanian atau apa sahaja, kerana ia sudah terang lagi bersuluh. Risalah, berita, dokumentasi, rakaman dan cd-vcd sudah bercambah dan sentiasa memenuhi ruang galeri.

BANGUNKAN INSANIAH
Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan.
Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.
Sebenarnya beliau bukan seorang pemimpin yang suka melakonkan watak atau berlakon di hadapan lensa malah cukup keberatan untuk dikutip kisah perjuangan sepanjang hayatnya. Dia pernah menolak diwawancara Harakah secara eksklusif Harakah, walaupun beliau amat sayang  akan organ parti ini dan pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Harakah.
Katanya kepada saya, ketika melaporkan diri sebagai Ketua Wartawan Harakah Negeri Kedah awal tahun ini, beliau lebih suka bersikap merendah diri dan kurang menggemari publisiti berbentuk sensasi.
"Takpalah...Azamin. Biar saya 'low profile' dan buat kerja-kerja macam biasa. Azamin buatlah kerja dan duduklah elok-elok di sini ya," katanya bernada rendah  menyinggah hati nurani.
Dan sejak itu saya memerhati dari jauh dan mengekorinya tanpa disedari. Tidak pernah saya mendekatinya dengan lebih rapat lagi bimbang-bimbang disalah erti. Sehinggalah selepas tujuh purnama saya di sini, beliau buat pertama kalinya menjemput saya ke rumah. Berbual santai, sembang-sembang hal keluarga dan menitipkan luahan hatinya tentang pergolakan politik semasa.
Dulu bermacam-macam nista dipalit kepada Ustaz Azizan. Tidak mesra, tidak pandai ceramah, ego dan bengis kata mereka yang tidak puas hati dengan Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Adun Sungai Limau ini.
Namun setelah dua kali berbual mesra dan mengikuti segala aktiviti serta program beliau selama tujuh bulan ini, nyata tusukan dan cacian itu, tidak benar dan hanya fitnah semata.

AMAT TEGAS
Ini tidaklah bermakna, dikesampingkan warna sebenar, perwatakan beliau. Ustaz Azizan sememangnya seorang yang amat tegas terutama melibatkan tugasan dalam parti mahupun kerajaan negeri. Bekas pensyarah kehormat di Universiti Mindanao ini juga tidak suka kerja "cincai-bomcai".
Baginya semua 'perfect' dan 'zero-defect'. Tidak kurang kakitangan atau petugas parti yang menerima terjahan teguran dan kritikan daripadanya. Katanya setiap tindakan memberi kesan kepada agama dan perjuangan parti yang dibawa. Yang akan menerima tempias ialah, Islam dan PAS.
Betapa seriusnya Ustaz Azizan mentadbir parti sehingga adakalanya bermesyuarat sampai malam dan sesekali beliau mengejutkan para pegawainya yang sedang lena diulit mimpi, untuk berkumpul di rumahnya lewat tengah malam bagi membincangkan isu amat genting.
Pernah sekali, walaupun pintu tertutup rapat, saya mendengar beliau berang memarahi seseorang kerana kelemahan menyelesaikan tugas yang diberi. Gamam juga saya yang kemudian beransur beredar perlahan-lahan daripada pejabat Menteri Besar itu sebelum menambah lagi murka.
Akan tetapi ironinya, puncak kemarahannya hanya di bucu empat penjuru biliknya sahaja. Selepas melintasi ruang legar atau di luar bilik itu, beliau akan bersikap sediakala malah orang yang dimarahinya, boleh berbual dan makan semeja dengannya.

CUKUP BERANG
"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan kewangan.
Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.
Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.
Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan,  bapa 14 orang anak  ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.
Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.
Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.
Sejak dua tahun lebih menjadi MB, beliau tidak pernah ke luar negara walaupun pernah dijemput oleh gabenor jiran senegeri iaitu Thailand. Menjelang Ramadan ini, khabarnya kali pertama beliau mahu akan ke negara Timur Tengah, setelah lama mendiamkan diri melaksanakan tanggungjawabnya di sini.
Beliau sebenarnya tidak mahu, dianggap memoncah dalam berbelanja dan dilihat membuang masa serta bersuka ria ke sini sana lebih-lebih lagi ke luar negara. Hatta dalam berbelanja untuk kegunaan sendiri pun, Ustaz Azizan cukup sederhana dan bersikap berpada-pada.

HARGA KEMEJA MB
Bagi membeli pakaian, beliau  akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong  dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian kegemarannya sejak dulu lagi.
Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!
Pernah pentadbiran kerajaan negeri berhasrat melupuskan atau menjual kenderaan rasmi Menteri Besar  dua buah kereta Mercedes lama plat nombor KY12 dan KN 2000, akibat terlalu teruk kerosakannya namun dihalang Ustaz Azizan yang meminta dibaiki dan akhirnya dipakai semula oleh beliau sendiri.
Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini,beliau tidak pernah menaiki kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan' berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.
Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau  tidak akan singgah di sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.
Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta.  Cuma sesekali dijemput Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak upaya menolaknya.

HUBUNGAN DENGAN ISTANA
Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.
Bukan itu sahaja, MB Kedah ini akan mengiringi Sultan Kedah di lapangan terbang sama ada ketika baginda bertolak mahupun pulang daripada luar negara. Biarpun sekadar 5 ke 10 minit cuma bersua dan mengiringi baginda, tanda hormat yang ditunjukkan kepada Sultan amat tinggi.
Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal peribadi
Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!
Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!
Jika di Kedah pula, beliau suka hidangan gulai masam ikan dan ulam-ulaman disajikan. Dan tatkala melawat kawasan kampung di sekitar Kedah bagi tujuan rasmi ataupun tidak formal, masyarakat rata-ratanya sudah tahu makanan kegemaran beliau dan menghidangkannya setiap kali beliau menziarahi penduduk di situ.
Manakala kalau di rumah, sebelum waktu tidur jam 10 malam, Ustaz Azizan suka berbaring di sofa panjang sambil membaca buku-buku atau kitab-kitab tafsir. Itu hobinya sejak dulu lagi. Kadang-kadang asyik membaca, beliau boleh terlena di situ. Minatnya pada buku sukar disangkal. Presiden PAS Dato' Seri Hadi Awang juga, ada masa meminta Azizan menyemak buku tulisannya sebelum diterbitkan.

SAMPAI KULIAH
Jika berkesempatan, beliau meneruskan kesinambungan dakwah dengan menyampaikan kuliah yang selalunya diadakan di Kompleks PAS ataupun Kediaman Rasmi MB di Seri Mentaloon setiap Jumaat. Bukan sedikit pengikut atau yang minta mendengar kuliah yang disampaikan, dan ada masa bergilir dengan Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din.
Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Beliau jarang menghampakan orang, bahkan tetamu yang menjengah ke rumah ataupun ke pejabatnya sama ada melalui temujanji ataupun yang datang secara spontan.
Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari.
Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.
Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.
Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.
Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.

MATI RENTUNG
Ada satu kisah ketika, alam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur kerana urusan mesyuarat, beliau mendapat khabar sebuah keluarga Cina di Jitra yang kehilangan dua orang anaknya akibat mati rentung. Kisah menyayat hati itu, dilaporkan semua media. Beliau kemudian lantas ke tempat kejadian, tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu.
Ustaz Azizan tiba menyampaikan sendiri bantuan dan duduk bersama kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut sambil cuba mententeramkan kesedihan mereka tatkala jenazah keduanya masih berada dalam keranda dan belum dikebumikan.
Selain itu, jika tetamu yang hadir atau membuat kunjung hormat, Ustaz Azizan akan melayan dan meraikan mereka sehabis mungkin sehinggakan beliau meneliti terlebih dahulu menu makanan yang bakal dihidangkan [2009-07-10_165827.jpg]supaya para tetamunya mendapat sambutan yang terbaik.
Jika tiada acara lain, beliau lebih suka makan di dalam pejabatnya bersama staf mahupun para pegawai, di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan warga kerja di Wisma Darul Aman itu.
Bukan sediki
t yang sudah bertandang ke pejabatnya, daripada beberapa Menteri Pusat, para kedutaan, korporat atau konglomerat, guru, pelajar, bomba dan aneka ragam sehinggalah makcik pakcik dari kampung. Semua teruja dan mahu bertemu pemimpin disegani ini.
Biarpun beberapa media adakalanya cuba menconteng arang, tetapi secara purata dan majoriti, ramai yang tidak termakan racun hasutan. Semua telah menjadi saksi kepala. Tinjaun rambang yang dibuat, semuanya amat menyukai corak pentadbiran Azizan dan jika kekal begini, maka berputih matalah, mereka yang berhasrat atau mahu merujuk kembali kuasa yang sudah lama berpisah dari diri.
Walaupun media melaporkan songsang, hakikatnya pengamal media arus perdana dan alternatif di Kedah, menganggap Ustaz Azizan seorang yang mesra media. Beliau amat kenal seorang demi seorang wartawan yang membuat liputan. Ingatannya tajam. Bukan itu, sahaja, AUstaz zizan akan menjawab semua soalan yang ditujukan dengan pancungan hujahnya yang bernas.

PERANGKAP WARTAWAN
Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.
"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.
"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.
"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.
Sebenarnya setiap kali, sidang media di pejabat Menteri Besar, seminggu sekali adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pengamal media. Bukan setakat mendapatkan berita, tetapi lebih kepada kemesraan hubungan serta bergurau senda dengan Ustaz Azizan, yang menganggap para wartawan sebagai sebahagian daripada keluarganya.

JADI PENTERJEMAH
Jika sidang media dibuat dengan para duta atau diplomat asing, Ustaz Azizan lazimnya bertindak sebagai penterjemah dalam bahasa Inggeris dan membantu media menjelaskan jawapan.
Selain asakan fitnah lawan, beliau juga sering dilambakkan dengan segunung harapan oleh penyokong parti dan rakyat negeri supaya melakukan perubahan besar-besaran agar nampak hebat dan boleh dipandang semua, tetapi  tidak pernah melatah. Beliau bukan seorang yang gopoh dalam mengatur langkah.
Kata seorang ustaz menjawat exco pemuda negeri, Ustaz Azizan bukan seorang yang 'ghairah' berceramah atau suka menunjuk aksi di sana sini, baik sebelum menjadi MB ataupun kini. Beliau sering mengutamakan jentera parti, memantapkan sistem dan pentadbiran kerajaan negeri.
RAMADAN
Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.
Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.
Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan  pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.
Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!
Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.
Lantas beliau  mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!

TERTIKAM MATA SENDIRI
Akhirnya permainan muslihat lawan, tertikam mata sendiri. Perbuatan keji yang diharapkan dapat menusuk dan mencincang imej Azizan atau nama busuk parti bertukar pujian melangit atas sifat pemurah pemimpin itu. Rupanya, kilasan dan serangan lawan melukakannya pun belum tentu!
Begitulah kehebatan seorang Azizan yang tiada duanya, yang mampu dinukilkan semoga bisa merungkai kekeliruan dan tuduhan tak bermata terhadapnya selama ini.
Sesungguhnya rakaman dua tahun lebih, kelibat keperibadian beliau, tidak mampu dikarang berkajang-kajang. Hanya selembar kisah, secebis cerita untuk tatapan semua untuk mengenali, cuba mendekati dan mencontohi sikap beliau, yang jauh di mata dekat di hati.
Moga mendoakan, agar kepimpinannya berpanjangan dan sekiranya berterusan, maka mudahlah saya menyudahkan cerita 1001 macam di sebalik tabir Ustaz Azizan Razak ini. Salam Ramadan al-Mubarak!

Nota Ustaz: Apabila membaca tulisan seorang penulis dari sesawang detikdaily ini, saya merasakan alangkah bahagianya jika semua negeri memiliki jiwa dan semangat pemimpin seperti ini. Pemimpin yang menjaga amanah rakyatnya, menjaga khazanah negara, duit negara tidak dibelanja sewenang-wenangnya dan yang paling penting, pemimpin tersebut takutnya hanya kepada Allah...Mencari pemimpin seperti Khalifah Ummar Abdul Aziz memang sangat sukar pada hari..kita sebagai rakyat biasa hanya mengharapkan pemimpin dapat menjaga negara dengan baik serta membangunkannya berlandaskan prinsip "Baldatun Taiyibatun Warabbun Ghafur"...


03 August 2010

Hukum Bernikah Dengan Wanita Hamil

sumber: www.idhamlim.blogspot.com

16 Syaaban 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

Ulama berkata berkenaan dengan menikahi wanita yang hamil:Kalaulah kehamilan kerana zina ada dua pendapat berkenaan dengan hukum akad nikah yang dijalankan:-

Pertama: Batal akad nikahnya. Ini adalah pendapat mazhab Hambali, Maliki dan kebanyakan para ulama.

Kedua: Sah akad nikahnya. Namun tidak boleh berjimak dengan wanita tersebut sehinggalah dia melahirkan anak. Ini adalah pendapat Syafie dan Abu Hanifah.

Dalil dalam masalah ini adalah hadis Nabi s.a.w:

Maksudnya: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah air maninya disiramkan pada anak orang lain.(Hr Tirmizi -Hasan)

Ulama berkata:sesiapa yang berkahwin dengan wanita yang dia berzina dengannya, dia boleh berjimak dengannya walaupun perempuan tadi sudah hamil kerana kehamilan itu daripadanya dan tidak termasuk larangan menyiram air mani ke pada anak orang lain.

Sekiranya dia berkahwin dengan orang yang berzina dengan orang lain dan tidak mengandung maka dia boleh berjimak dengannya selepas akad nikah. Adapun sekiranya wanita yang dinikahi itu hamil daripada orang lain maka hukumnya telah lepas iaitu dua pendapat.


Guru Dibenarkan Berpolitik?!

www.bharian.com.my
27 Julai 2010|
 
KUALA LUMPUR: Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan membabitkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru satu masa dulu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Bagi tujuan itu, beliau berkata, pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakan pindaan peraturan tersebut, tambahnya. Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dulu.“Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad,” kata Mohd Sidek.

Beliau berkata, syarat-syarat ketat akan dikenakan supaya tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan pembabitan mereka dalam politik.

Katanya, mereka yang dibenarkan terbabit dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik. Bernama

Nota: "Kerjaya sebagai seorang guru adalah kerjaya yang cukup mulia. Segala tugas yang dilakukan, dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan penuh tanggungjawab semata-mata ingin melihat anak-anak pelajarnya berjaya. Mungkin ada perubahan dari sudut pendekatan dan 'style' politik sekiranya menerima sentuhan seorang guru. Bak kata orang "belum cuba, belum tau!" ."


Reaksi Positif Sekat Pornografi

www.bharian.com.my

2010/07/27

KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan menyekat dan membuat tapisan kandungan pornografi dan perjudian di internet mendapat reaksi positif pelbagai pihak kerana ia dapat membantu membendung gejala sosial yang semakin berleluasa di negara ini.

Tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din, berkata perkara itu sepatutnya sudah dilaksanakan sejak dari dulu lagi kerana kandungan yang negatif dalam internet nyata mendorong masyarakat terutama generasi muda ke arah keruntuhan akhlak sekali gus menimbulkan gejala sosial.

Salah guna mata, telinga ini tidak elok kerana nafsu akan memainkan peranan dan seterusnya terjerumus ke arah yang negatif, jadi memang sepatutnya sekatan itu dilaksanakan. Selain peranan kerajaan, ibu bapa juga kena memantau anak ketika melayari internet, jangan biarkan mereka menggunakan internet ini secara tersembunyi, kita tidak mahu mereka menyalahgunakan kemudahan ini, katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar semalam melaporkan kerajaan bercadang membuat tapisan serta menyekat kandungan pornografi dan perjudian di internet bagi membendung jenayah mahu pun salah laku seksual dan moral yang kini membelenggu masyarakat negara ini terutama generasi muda.

Nota: Eloklah tu disegerakan tindakan tersebut. Sudah lama masyarakat kita terdedah dengan laman pornografi ini. Banyak sangat penyakit sosial yang  timbul angkara laman-laman web yang keterlaluan ini. Semoga usaha ini akan dapat meredakan penyakit sosial terutama dikalangan remaja masa kini. Insyallah..

Enam Cara Untuk Mengubah Diri Menjadi Baik

Sumber : Ibnufathani (MMAS Pendang)

KITA seringkali memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai juga yang ingin melihat orang lain berubah. Malah, kita berkeinginan untuk berubah, tetapi masih tidak kesampaian.

Kita mahu negara kita berubah, kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah pekerja kita, tetapi malangnya anak dan isteri kita masih tidak mampu kita ubah. Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya, kita tidak pernah bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri. Rahsia mengubah orang adalah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya kita tidak mula daripada diri sendiri tidak berkesan. Kadangkala hasrat mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap kita itu tidak serupa bikin dengan apa yang kita laungkan.

Elok juga kita fikirkan perbandingan ini, kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak tidak dibina. “Mulakan dengan dirimu,” kata pepatah Arab. Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani berhujah itu mudah, tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri. Ramai orang berani melihat kekurangan orang lain, tetapi jarang sekali membincangkan kelemahan diri sendiri. Sebenarnya apabila kita mengubah diri dengan penuh sedar sudah pasti ia dapat mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatan yang berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi orang lain. Pengaruh daripada kegigihan mengubah diri tidak akan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain. Makin lama orang akan simpati dan terdorong untuk turut sama berubah.

Lantas bagaimana kaedah mengubah diri dan orang lain?

Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Mana mungkin kita mahu mengajak orang berubah sedangkan diri kita masih di takuk lama. Jadilah seperti `ketam mengajar anak berjalan betul’ nanti cakap tidak serupa bikin.

Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit, yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar dimulakan dengan titik hujan yang kecil.

Ketiga: Mulakan sekarang. Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil akan jadi lebih besar jika terus dibiarkan.

Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil.

Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana mengumpat.

Keenam: Kena ulangi kebaikan sehingga sebati dengan diri.


Ahlan Wasahlan Wa Marhaban Ya Ramadhan.

Mungkin tidak terlalu awal untuk saya mengucapkan "Ahlan Wasahlan Wa Marhaban" kepada bulan Ramadhan yang bakal menjelang dalam beberapa minggu sahaja lagi. Alhamdulillah, mudah-mudahan Allah SWT masih memberi peluang kepada kita semua untuk bersama-sama menyambut kedatangan bulan Ramadhan kali ini dengan pesta ibadah dengan meriah. Sabda Rasulullah saw.:"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan." Sewajarnya kita mengisi masa sebagai hamba Allah mengambil peluang yang telah diberikan oleh Allah ini untuk bertungkus lumus melakukan ibadah, memohon ampun dan maghfirah Allah di sepanjang bulan Ramadhan yang bakal kunjung tiba.

 Gambar: www.iluvislam.com
Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap  umat Islam.

Rasulullah saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga".

"Ya, Allah ya tuhanku, berilah kepadaku peluang untuk menyambut kali ini dengan penuh ketenangan.." Amin.
"Marhaban Ya ramadhan..!!"

Nota: Makluman kepada pengunjung blog ini. Blog ini masih di dalam pembikinan dan pengubahsuaian. Segala kesulitan haraplah dimaafkan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Powered By Blogger

Followers

Muzik Video Pilihan

About Me

My photo
Berasal daripada negeri yang diberi jolokan Jelapang Padi, Kedah. Sekarang sebagai pendidik yang bertugas di negeri Sarawak.